Malaysia komited jadi pembekal sawit berkualiti utama dunia

Malaysia komited jadi pembekal sawit berkualiti utama dunia

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika sidang media selepas menyempurnakan Sesi Taklimat Sawit dan Dialog Industri di Hotel Sheraton. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia komited untuk terus menjadi pembekal minyak sawit yang mampan, berkualiti dan diyakini di peringkat global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sektor minyak sawit merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan pengeluaran tahunan sebanyak 19.3 juta tan metrik dengan kira-kira 15 juta tan daripadanya dieksport.

Jelas beliau, perkara tersebut dapat dicapai dengan pematuhan ketat terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sekali gus memastikan kedudukan minyak sawit negara kekal kukuh dalam pasaran eksport dunia.

“Setiap tan minyak sawit yang dieksport mesti memenuhi pensijilan MSPO. Kita tekankan elemen kebolehkesanan (traceability) dan tidak membenarkan pembukaan hutan baharu.

“Ini penting untuk memastikan pengeluaran kita selaras dengan keperluan dan standard global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Taklimat Sawit dan Dialog Industri anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), di sini hari ini.

Mengulas potensi pasaran, Johari berkata, Malaysia kini sedang giat mempelbagaikan destinasi eksport minyak sawit dan tidak lagi terlalu bergantung kepada rakan dagang tradisional.

Beliau berkata, 40 peratus eksport minyak sawit Malaysia tahun lalu dihantar ke negara-negara di Afrika Utara, Sub-Sahara Afrika dan ASEAN.

“Eksport ke Afrika Utara meningkat sebanyak 63.5 peratus pada tahun 2024, manakala Sub-Sahara Afrika mencatat peningkatan 26 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini.

“Permintaan di rantau ini semakin meningkat, khususnya dalam sektor pemprosesan makanan dan kegunaan industri,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkukuh sektor hiliran sawit termasuk pembangunan produk nilai tambah seperti oleokimia, bahan ramuan makanan dan aplikasi khas lain.

Jelas beliau, langkah tersebut bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi tetapi juga memperluas kerjasama teknikal, pemindahan teknologi dan usaha sama pemprosesan di negara pembeli.

“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada eksport bahan mentah.

“Kita mahu meletakkan minyak sawit Malaysia lebih kukuh dalam rantaian nilai tempatan dan serantau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN