Perolehan ladang sawit Felcra lemah, wujud ketakteraturan serius

LKAN: Perolehan ladang sawit Felcra lemah, wujud ketakteraturan serius

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan wujudnya ketakteraturan serius dan kelemahan tatakelola dalam pelaksanaan perolehan ladang sawit Felcra Berhad.

Laporan itu berkata, ia melibatkan aspek penilaian harga, hasil sawit dan pematuhan kontrak.

Katanya, Felcra telah membuat perolehan satu ladang sawit di Sabah secara pemilikan geran dan tiga ladang sawit di Kelantan secara pajakan yang berjumlah RM241.76 juta.

“Proses perolehan Ladang Sawit Estet Telupid di Sandakan, Sabah dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil. 203 Tahun 2022 tanpa mematuhi keputusan mesyuarat sebelumnya di mana tiada pelantikan perunding luar untuk melaksanakan kajian daya maju terhadap perolehan ladang tersebut.

“Tiada bukti resolusi diangkat kepada Lembaga Pengarah untuk mengubah keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil. 202 Tahun 2022 dan perkara ini tidak selaras dengan Artikel 111 dan Artikel 115 Perlembagaan Felcra Berhad.

“Kesan daripada keputusan perolehan ladang sawit yang kurang berdaya maju, hasil pengeluaran Estet Telupid masih belum mencapai sasaran dan mengalami kerugian dari tahun 2022 hingga 2024,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, proses perolehan tiga ladang sawit di Gua Musang, Kelantan pula dibuat secara tergesa-gesa, di mana perjanjian bagi perolehan ladang-ladang sawit tersebut telah ditandatangani antara tujuh hingga 12 hari selepas kelulusan Mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Ia melibatkan perolehan Estet Dabong dan Estet Sg. Rawit 2 melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil. 207 Tahun 2022 dan perolehan Estet Aring melalui Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Bil. 217 Tahun 2023.

“Lanjutan keputusan perolehan Estet Aring, dua orang Lembaga Pengarah telah memohon mengecualikan diri dari membuat undian terhadap keputusan tersebut,” katanya.

Justeru, LKAN mencadangkan agar perolehan ladang sawit di bawah Pelan Transformasi dikaji semula bagi memastikan pelaburan terhadap perolehan ladang sawit berbaloi berdasarkan kemampuan kewangan semasa Felcra.

“Antara syor, Lembaga Pengarah Felcra Berhad hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan perolehan ladang sawit adalah teratur selaras dengan kewajipan fidusiari serta amalan tatakelola yang baik.

” Proses penambahbaikan proses tadbir urus dan semua keputusan berkaitan perolehan ladang sawit diputuskan secara kolektif dan selaras dengan resolusi terdahulu serta Perlembagaan syarikat,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN