Litar pintas disyaki punca kebakaran SMK Dang Anum

Litar pintas disyaki punca kebakaran SMK Dang Anum

MOHD. Zaidi (kanan) meninjau lokasi kejadian kebakaran di SMK Dang Anum, Merlimau, Melaka awal pagi tadi.UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kejadian litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan tingkat atas blok pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran itu berlaku ketika bangunan terbabit sedang menjalani kerja-kerja naik taraf pendawaian elektrik yang dimulakan sejak 16 minggu lalu membabitkan bilik moral, bilik grafik komunikasi dan teknikal, bilik guru dan bilik reka bentuk teknologi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Zaidi Maat berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur khianat dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.36 pagi itu.

“Buat masa ini, tiada petunjuk menunjukkan wujudnya unsur sabotaj, namun siasatan masih diteruskan dan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba akan dipanggil untuk membantu siasatan secara menyeluruh, “katanya selepas melakukan tinjauan ke lokasi kebakaran di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun, operasi memadam api berdepan kesukaran berikutan tekanan air rendah di lokasi kejadian.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya 1.7 bar tekanan air untuk menyokong operasi jentera namun tekanan yang diperoleh jauh lebih rendah daripada paras minimum.

“Pasukan bomba terpaksa menarik hos sejauh kira-kira 1,300 kaki (400 meter) dari taman berhampiran bagi mendapatkan sumber air pili bomba alternatif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerja-kerja naik taraf sistem pendawaian elektrik di blok terbabit telah bermula sejak 16 minggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu akan datang.

“Blok bersebelahan telah pun siap sepenuhnya. Saya sudah arahkan satu siasatan terperinci dijalankan dan jika didapati kebakaran berpunca daripada kecuaian kontraktor, kita tidak akan berkompromi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi sekolah tidak terjejas dan sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa memandangkan kebakaran tidak membabitkan bangunan kelas pelajar.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan empat buah bilik guru dan sebuah pejabat pentadbiran di tingkat satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN