Lee Je Hoon beraksi lagi dalam Taxi Driver 3 - Utusan Malaysia

Lee Je Hoon beraksi lagi dalam Taxi Driver 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Korea Selatan, Lee Je Hoon bakal kembali memegang watak ikonik Kim Do Gi menerusi drama bersiri Taxi Driver musim ketiga pada suku keempat 2025 ini.

Bakal ditayangkan menerusi perkhidmatan penstriman video OTT, Viu Original, kemunculan semula drama bersiri popular tersebut juga merupakan hasil kerjasama PCCW dan SBS iaitu rangkaian televisyen terkenal dari Korea Selatan.

Menurut Park Jeong Hoon selaku Ketua Pegawai Eksekutif Studio S Unit Penerbitan Dalaman SBS Media Group, pihaknya kini dalam usaha untuk menghasilkan jalan cerita yang berkualiti dan memuaskan hati penonton.

“Kami berbesar hati memperkenalkan Taxi Driver 3 menerusi kerjasama erat dan berterusan bersama Viu, sebuah platform dengan capaian serta pengaruh global yang kukuh.

“Pasukan produksi kini sedang berusaha keras untuk menghasilkan sebuah drama berkualiti tinggi yang bukan sahaja meneruskan legasi musim 1 dan 2, tetapi juga mampu memenuhi dan mengatasi jangkaan penonton,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu, Janice Lee selaku Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan PCCW Media Group berkata, kerjasama ini secara tidak langsung mampu mengukuhkan industri kreatif dalam menghasilkan karya segar.

“Senarai kandungan terbaharu kami mencerminkan komitmen berterusan terhadap penceritaan yang menarik, relevan secara lokal dan berpotensi menembusi pasaran global.

“Sepanjang 2025, kami membawakan pelbagai kerjasama antarabangsa baharu seperti Taxi Driver 3, My Youth dan The Season produksi yang membawakan kisah berunsur lokal dengan sentuhan universal.

“Dengan kerjasama bersama studio bertaraf dunia dan penglibatan bakat tempatan serta antarabangsa, kami berhasrat untuk terus memperkasa industri kreatif sambil mempersembahkan naratif segar dan kekayaan budaya yang mampu memikat penonton global,” katanya.

Untuk musim kali ini, Taxi Driver akan mengekalkan elemen penceritaan yang kukuh dengan memperluaskan lokasi penggambaran ke peringkat antarabangsa serta memperkenalkan bakat dari seluruh Asia.

Selain Lee Je Hoon, drama bersiri itu turut dibintangi barisan pelakon kegemaran seperti Kim Eui-sung, Pyo Ye-jin, Jang Hyuk-jin dan Bae Yoo-ram.

Lebih menarik lagi, drama bersiri arahan Kang Bo Seung itu turut menampilkan Edan Lui daripada kumpulan popular Hong Kong, MIRROR buat pertama kali menerusi drama ini.

Selain Taxi Driver 3, Viu juga bakal tayangkan drama bersiri My Youth dan The Season termasuk 12 kandungan terbaharu dalam bahasa Melayu, hasil kerjasama produksi bersama studio terkemuka Malaysia seperti Rumah Karya Citra dan Global Station, serta kandungan premium dari Indonesia menerusi inisiatif Viu-MAXStream Originals bersama Telkomsel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN