PUTRAJAYA: Daripada aset Pakatan Harapan (PH), bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli telah bertukar menjadi liabiliti bukan sahaja kepada gabungan parti tersebut, malah juga kepada negara dan seluruh politik Malaysia.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof. Dr. Tajuddin Rasdi berkata, Rafizi adalah personaliti yang tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa, maka bagaimana beliau mahu membentuk kerajaan campuran memandangkan era politik sekarang harus melihat kepada politik campuran dan kompromi.
Menurut beliau, Rafizi mengkritik tanpa memberi pendekatan pragmatik politik untuk penyelesaian isu, sedangkan beliau tidak banyak mengkritik pembangkang yang membawa isu sensitif tetapi remeh.
“Rafizi tidak mendapat sokongan daripada parti komponen kerajaan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO, Amanah dan kebanyakan DAP.
“Tiada sesiapa yang akan berkawan dengan seseorang yang mengkritik parti sendiri dan Presiden sendiri tanpa segan silu dan juga dalam demonstrasi,” katanya hari ini.
Terdahulu, Tajuddin menyifatkan kritikan Rafizi Ramli terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kenyataannya yang ‘paling tidak beradab’.
Tajuddin menyatakan beliau tersinggung dengan dakwaan Rafizi yang menuduh Anwar sebagai obses terhadap kuasa dan jawatan Perdana Menteri, sedangkan Anwar melalui perjuangan panjang termasuk kekejaman polis serta pemenjaraan selama bertahun-tahun.
Tajuddin berkata, tuduhan Rafizi terhadap PKR tentang pengundian dan sebagainya tidak pernah dibuktikan dan tidak dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Katanya, beliau sepatutnya tidak perlu letak jawatan Menteri seperti Menteri Sarawak, Abdul Karim Rahman dari GPS yang kalah pertandingan parti.
“Rafizi yang merajuk letak jawatan dan menggunakan alasan penolakan beliau dalam pertandingan sebagai usaha jahat. Sepatutnya beliau menggerakkan semula penyokong beliau untuk bertanding jawatan Presiden dengan cara terhormat dan beradab.
“Tetapi beliau sendiri kata yang beliau tidak akan menjadi pemimpin PKR serta juga dalam PRU16 beliau akan bertanding solo sebagai calon bebas,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Rafizi tidak ada kemampuan untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekalipun beliau menubuhkan parti kerana tidak cukup undi Melayu dan undi bukan Melayu pula berpecah.
“Siti Kasim yang popular pun hanya dapat 600 undi dan hilang deposit ketika bertanding Bebas pada PRU15. Rakyat bukan Melayu tidak akan sokong calon Bebas yang tak akan membuat perubahan. Kalau Rafizi berjaya menang 30 kerusi parlimen, dia nak bekerjasama dengan siapa?
“Parti besar seperti UMNO, Bersatu, Pas akan menjadi pemain utama PRU. Kalau Rafizi pecahkan undi bukan Melayu, maka PN dan BN akan menang dan dia gembira PKR kalah sebab kebencian dia pada Anwar,” katanya. – UTUSAN











