Lebih 5 juta hidap sakit buah pinggang kronik - Utusan Malaysia

Lebih 5 juta hidap sakit buah pinggang kronik

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Amal anjuran Yayasan Amal Maaedicare bagi mengumpul dana untuk pesakit buah pinggang dan jantung di Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIERA ZULAIERA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih lima juta rakyat Malaysia atau 15.5 peratus daripada populasi menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD), namun hanya lima peratus yang sedar akan keadaan mereka.

Setiap hari, 28 rakyat Malaysia disahkan mengalami kegagalan buah pinggang iaitu kira-kira 10,000 kes baharu setiap tahun dan lebih 50 peratus daripada mereka juga menghidap diabetes.

Menjelang 2040, dijangka seramai 106,000 rakyat Malaysia akan menjalani rawatan dialisis.

Perkara itu didedahkan Pe­ngerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra dalam majlis makan malam amal anjuran yayasan itu di sini, malam tadi.

Pihaknya merancang me­nubuhkan Pusat Pemulihan dan Fisioterapi khusus bagi membantu pesakit jantung dan dialisis dalam kalangan komuniti B40, dikendalikan pakar pemulihan yang akan menumpukan kepada penjagaan serta proses pemulihan pasca rawatan agar pesakit kembali kepada kehidupan lebih baik.

Katanya kewujudan ‘perangkap dialisis’ bila pesakit perlu berhenti kerja untuk layak menerima bantuan kerajaan, sekali gus menjerumuskan mereka ke kancah kemiskinan.

“Jika memperoleh lebih RM1,000 sebulan, anda tidak layak untuk subsidi kerajaan dan perlu membayar kira-kira RM4,000 sebulan untuk rawatan di pusat swasta.

“Akhirnya, ramai terpaksa berhenti kerja untuk mendapatkan bantuan, lalu hidup dalam kemiskinan semata-mata untuk terus hidup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Anne Rajasaikaran berkata, hampir RM600,000 dikumpulkan dalam majlis itu mencerminkan sokongan masyarakat terhadap misi kemanusiaan yayasan berkenaan.

Hingga kini, Yayasan Amal Maaedicare mengendalikan 11 pusat dialisis di sembilan ne­geri, memberi manfaat kepada lebih 35,000 pesakit sejak 1994.

“Sejak 2023, dua klinik percuma ditubuhkan dan telah memberi rawatan kepada lebih 2,500 golongan kurang berkemampuan, selaras dengan usa­ha mengurangkan beban kos rawatan serta meningkatkan tahap kesihatan komuniti.

“Pasukan perubatan kami menganjurkan hampir 120 program saringan percuma kepada hampir 9,000 rakyat Malaysia sejak tahun 2020,” katanya.

Majlis disempurnakan Pe­naung Yayasan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut berangkat, Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz. Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly

Ahmad, dan Ahli Parlimen Batu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), P. Prabakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×