Lebih 1,500 jemaah sertai 'Geng Subuh Macam Jumaat' di Tambun - Utusan Malaysia

Lebih 1,500 jemaah sertai ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Tambun

JEMAAH menunaikan solat Subuh pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata di Tambun, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata di Tambun, di sini pagi tadi disertai lebih 1,500 jemaah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Solat Subuh itu turut disertai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak dan Qawiyaro.

Pejabat Parlimen Tambun dalam kenyataannya memaklumkan, solat yang diimamkan Qawiyaro itu dan jemaah hadir seawal pukul 5 pagi.

Katanya, kempen ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ itu akan diterus selepas ini di mana pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan bagi menarik kehadiran penduduk setempat.

“Pada program hari ini, kita turut mengadakan larian ‘Tambun Fun Run’ sejauh lima kilometer di mana ia turut disertai Muhammad Kamil.

“Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan ialah kenduri rakyat, penyerahan sumbangan peruntukan khas kepada sekolah, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran serta persembahan nasyid daripada UNIC, Raihan dan Mirwana,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang hari ini termasuk konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, perkhidmatan bergerak dan pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan, gunting rambut dan servis penukaran minyak hitam percuma serta cabutan bertuah

Turut diadakan Malam Mahabbah MADANI di mana membabitkan pertandingan nasyid antara sekolah serta Forum Hijrah bersama pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa yang dikendalikan oleh moderator, Ustaz Hariri Daud.

Karnival bertemakan Hijrah Membina Ummah MADANI itu merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia
(MCMC).

Penganjuran program itu mengangkat aspirasi Malaysia MADANI dengan semangat keterangkuman dan keharmonian yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama membina sebuah komuniti yang sejahtera dan bersatu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini