WELLINGTON, NEW ZEALAND: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan lawatan kerja lima hari ke New Zealand bukanlah sekadar ‘makan angin’, sebaliknya berteraskan misi diplomatik, dakwah dan penerokaan kerjasama strategik demi kepentingan negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau tidak melayan sindiran sinis pihak tertentu kerana setiap lawatan rasmi kerajaan membawa objektif tersendiri yang penting.
“Sindiran adalah lumrah politik. Kalau yang baik tanyalah kawan, kalau yang tak baik, tanyalah musuh. Apa pun kita buat, bagi mereka tetap tidak baik.
“Dalam setiap lawatan kerja, matlamatnya adalah menimba pengalaman serta meneroka bidang baharu yang boleh dibawa pulang ke tanah air. Jangan sombong, jangan angkuh,” katanya pada sidang akhbar rangkuman lawatan kerja selama lima hari ke New Zealand, di sini, semalam.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki serta Setiausaha Bahagian Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Ocenia Kementerian Luar, John K. Samuel.
Merangkumkan hasil lawatan kerjanya selama lima hari ke negara Oceania itu, Ahmad Zahid berkata banyak kerjasama strategik terjalin merangkumi pemerkasaan hak dan kebajikan Orang Asli, pembangunan industri halal, pendidikan, pertanian, perdagangan serta pengurusan bencana.
Beliau turut memaklumkan New Zealand menyatakan persetujuan untuk menyertai Majlis Halal-ASEAN sebagai ahli bersekutu, sekiranya ada jemputan dari Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata New Zealand berminat untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai pempamer pada September ini.
Antara hasil signifikan lawatan itu termasuk usaha memperkukuh kerjasama dalam pendidikan, pertanian, industri halal, kebajikan Orang Asli serta pengurusan bencana.
New Zealand turut menyatakan minat menyertai Majlis Halal ASEAN sebagai ahli bersekutu dan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai pempamer.
“New Zealand juga mahu tingkatkan import nanas dari Malaysia. Saya akan bincang dengan Menteri Pertanian serta EXCO negeri terlibat bagi memperluaskan penanaman buah tropika ini,” katanya.
Dalam aspek dakwah, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan mencetak Al-Quran dengan terjemahan bahasa Maori untuk diagihkan kepada kira-kira 1,200 masyarakat Maori yang memeluk Islam.
“FIANZ minta kita bantu cetak mashaf terjemahan bahasa Maori. Saya sudah hubungi Yayasan Restu dan usaha ini akan dibiayai individu, bukan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










