BALIK PULAU : Kurang kesedaran dan kefahaman mengenai fungsi dan kepentingan instrumen wakaf, hibah dan wasiat menyebabkan harta orang Islam tidak dapat diurus dan diagih secara adil mengikut garis panduan syariah.
Difahamkan, pada tahun 2023, sejumlah RM90 bilion harta pusaka yang dibekukan adalah milik umat Islam.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pengurusan wakaf, hibah dan wasiat yang betul mampu menjadi sumber pembangunan sosioekonomi umat Islam.
Katanya, wakaf mampu menjadi sumber pembangunan sosioekonomi jika diurus secara profesional, manakala hibah membolehkan agihan dibuat semasa hidup untuk mengelak konflik selepas kematian.
“Wasiat pula memberi ruang untuk menyatakan hasrat dalam agihan harta kepada bukan waris atau untuk tujuan kebajikan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Literasi Syariah Madani 2025 di Masjid Daerah Barat Daya, di sini hari ini.
Mohamad berkata, kesedaran mengenai fungsi dan kepentingan instrumen wakaf, hibah dan wasiat boleh mengelak pelbagai masalah berhubung harta seperti perebutan harta, harta beku bertahun-tahun, dan pertikaian antara ahli keluarga.
“Dalam menangani isu ini, umat Islam perlu diberi pendedahan terhadap instrumen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pulau Pinang 2004 sebagai langkah pembudayaan celik syariah.
“Kefahaman terhadap hukum syarak bukan hanya isu agama, ia juga asas kesejahteraan sosial. Tanpa celik syariah, masyarakat berisiko hadapi pembaziran harta, konflik waris, malah terdedah kepada penipuan,” katanya.
Sementara itu beliau menyifatkan Program Literasi Syariah sebagai penting dalam mendukung Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030 negeri Pulau Pinang yang menekankan pengurusan strategik sumber kekayaan umat Islam.
Program selama tiga hari bermula hari ini dihadiri kira-kira 200 perserta terdiri daripada penduduk setempat di sekitar daerah Barat Daya.
Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkasa kesedaran dan pendidikan syariah demi masa depan umat Islam yang lebih teratur, adil dan berintegriti.-UTUSAN