Kumpulan terakhir jemaah haji Andalusia selamat pulang

Kumpulan terakhir jemaah haji Andalusia selamat pulang

KUMPULAN terakhir jemaah haji Andalusia Travel bagi musim haji 1446H/2025 selamat tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kumpulan terakhir 101 jemaah haji Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selamat tiba di tanah air malam semalam selepas menunaikan ibadah haji musim 1446H/2025.

Daripada jumlah itu, seramai 84 jemaah termasuk tiga petugas tiba kira-kira pukul 7 malam, manakala 17 lagi tiba sekitar pukul 9 malam di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan mereka disambut kakitangan Andalusia yang menghadiahkan bunga mawar sebagai simbolik penghormatan atas kejayaan menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Secara keseluruhan, seramai 573 jemaah Andalusia, selamat pulang ke tanah air dengan seorang jemaah, Allahyarham Abd. Yazit Matt, 65, berasal dari Ka­ngar, Perlis dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Suci pada 6 Jun lalu.

Isteri dan anak perempuan Allahyarham merupakan antara jemaah terakhir yang pulang malam tadi.

Timbalan Ketua Operasi Haji Andalusia 2025, Hanafie Mohd. Zain berkata, cabaran utama sepanjang bertugas adalah memastikan semua jemaah dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sempurna.

Cabaran lain termasuklah kesesakan jalan raya luar biasa ketika perjalanan dari Arafah ke Mudzalifah, yang memaksa berada dalam bas selama hampir sembilan jam untuk jarak hanya 15 kilometer.

“Selain itu, kami juga berjalan kira-kira dua kilometer menuju ke Mina selepas bas tidak dapat menghampiri kawasan khemah,” katanya.

Beliau turut memuji kelancaran operasi dan kemudahan disediakan Lembaga Tabung Haji sepanjang musim haji ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN