BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemaju supaya menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang lengkap seperti sekolah dan pusat jagaan harian agar rakyat dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa.
Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, kerajaan bersedia untuk meluluskan projek perumahan dengan lebih cepat sekiranya keperluan asas terbabit dipenuhi.
“Bila anak sekolah dan prasekolah, (dari segi) pengangkutan (kos) boleh jimat, ibu bapa bekerja juga boleh fokus kepada kerja.
“Kadangkala ibu bapa lewat ke tempat kerja kerana perlu hantar anak jauh ke sekolah. Sebab itu, kita fikirkan satu konsep moden yang komprehensif.
“Seperti semua (projek perumahan) di Kuala Lumpur sekarang, saya syaratkan begini (infrastruktur lengkap) dan kita akan beri kelulusan segera.
“Kalau buat rumah tapi sekolah jauh, buat apa?” soalnya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaksanaan projek secara komprehensif oleh pemaju yang membabitkan syarikat besar merupakan pendekatan terbaik berbanding kaedah tender berasingan yang boleh mengakibatkan berlakunya kelewatan.
“Projek pembinaan perumahan begini akan jauh lebih murah kalau kita serah kepada pemaju. Kalau tidak, perlu buat tender lain untuk sekolah dan lepas itu nanti lewat (delay) pula.
“Ada beberapa bulan lalu saya lawat sekolah sukan di Perlis kerana lebih sebelas tahun belum siap. Jadi, saya buat keputusan untuk batalkan projek itu dan minta syarikat besar jalankan serta siapkan segera.
“Ini contoh tak berbaloi sebab orang tunggu sekolah tu dah lama. Sebab itulah sekarang kerajaan akan luluskan projek pembinaan rumah yang komprehensif. Itulah maksud sebenar MADANI,” katanya.-UTUSAN