ANKARA: Tumpuan kepada perbincangan substantif bagi memperkukuh hubungan Malaysia dan Türkiye dalam pelbagai bidang strategik akan menjadi keutamaan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara itu.
Memetik laporan Bernama, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuannya dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan akan memberi penekanan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, diplomasi, pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan.
“Presiden bergurau dengan saya, jika saya tidak datang, beliau tidak mahu berkawan dengan saya kerana beliau telah membuat lawatan ke Malaysia. Saya menganggap beliau sebagai sahabat karib,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Diaspora Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata lawatan rasmi ke Türkiye tersebut diadakan selepas hampir tiga tahun beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, susulan jemputan Erdoğan yang mengingatkan beliau agar tidak melengahkan kunjungan berkenaan. – UTUSAN









