PETALING JAYA: Kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan Turkiye diperkukuh khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, latihan, pemindahan teknologi serta modal insan.
Perkara itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye. Prof Dr. Haluk Gorgun pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Anwar dan Gorgun membincangkan tentang kerjasama yang telah wujud menerusi syarikat pertahanan Malaysia dan Turkiye.
Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Anwar diberi penghormatan bagi melaksanakan istiadat kalungan bunga di Anitkabir yang menempatkan makam tokoh pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk.
Anwar turut meninjau persekitaran kompleks berkenaan termasuk muzium yang menghimpunkan naratif sejarah, pengorbanan serta visi pembinaan negara bangsa republik berkenaan.
“Kunjungan ini memberi ruang yang mendalam untuk mengenal makna kepimpinan, pengabdian kepada tanah air serta pentingnya nilainya kenegaraan dalam membina masa depan yang adil dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berada di Turkiye dalam lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala. – UTUSAN










