Konflik Thailand - Kemboja tidak jejas import beras negara - Utusan Malaysia

Konflik Thailand – Kemboja tidak jejas import beras negara

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kiri) mengagihkan ikan percuma kepada penduduk di Pusat Khidmat beliau di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Konflik di sempadan Thailand-Kemboja tidak menjejaskan import beras dari negara tersebut ke negara ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Malaysia memperoleh bekalan beras putih import dari beberapa negara termasuk Thailand, Kemboja, Vietnam, India dan Pakistan, dan setakat ini tiada gangguan bekalan atau lonjakan harga berikutan konflik dua negara tersebut.

“Memang ada kemungkinan konflik tersebut akan memberi impak jika ia berlarutan kerana negara mengimport beras dan ikan dari negara-negara terbabit seperti Thailand, Kemboja dan Myanmar.

“Namun setakat ini konflik tersebut tidak memberi kesan terhadap import dan harga beras negara,” katanya kepada pemberita pada program pengagihan ikan secara percuma kepada penduduk di pusat khidmat beliau di sini.

Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, buat masa ini beras import paling murah ialah dari India pada harga sekitar RM16 bagi setiap kampit 10 kilogram manakala harga beras putih tempatan masih dapat dikawal dengan bantuan subsidi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan masih boleh mengawal harga beras kerana negara pengeluar utama seperti India dan Pakistan tidak mengalami konflik ketika ini.

“Subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak RM150 juta juga membantu menstabilkan harga beras pada paras RM26 sekampit.

“Pemantauan di lapangan menunjukkan secara keseluruhannya bekalan beras ada walaupun ada sesetengah tempat berlaku kekurangan stok,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit perubahan harga sekiranya subsidi sedia ada tidak diteruskan selepas hujung bulan ini.

“Kalau tiada tambahan subsidi selepas ini, mungkin ada pergerakan harga sedikit tetapi kita belum dapat pastikan lagi setakat ini.

“Yang penting, kita ada pelan simpanan dan keselamatan makanan (food security) untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Mengulas langkah-langkah pemantauan, Syed Abu Hussin berkata, pihaknya sentiasa membuat semakan berkala di lapangan bagi memastikan harga dan bekalan beras terus stabil di pasaran.

“Sekarang harga beras putih Madani boleh diperoleh pada kadar RM26 satu kampit dan harga itu jauh lebih baik berbanding dahulu. Kita akan terus pantau untuk pastikan rakyat tidak terbeban,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN