‘Kita tidak boleh halang orang berangan’

‘Kita tidak boleh halang orang berangan’

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, di sini, semalam. – MINGGUAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak terus berangan untuk kembali mentadbir negara, sambil menyindir pentadbiran terdahulunya yang digelar sebagai ‘kerajaan gagal’.

Menurutnya, kenyataan Muh­­yiddin kononnya PN mempunyai rekod dan pengalaman mentadbir lebih baik hanyalah angan-angan politik.

“Kita tidak boleh halang orang berangan. Angan-angan itu percuma, tak perlu dibayar. Tapi cukuplah, kerana semasa beliau mentadbir dahulu, kerajaan itu dikenali sebagai kerajaan gagal. Jangan ulangi kegagalan yang sama,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, semalam.

Ahmad Zahid merujuk kenyataan Muhyiddin dalam Himpunan Mandat Negarawan di Alor Setar, Kedah, kelmarin mengenai PN bersedia mengambil alih pentadbiran negara dan menawarkan formula baharu yang dikatakan lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan malah mencadang­kan pemansuhan beberapa dasar sedia ada serta pelaksa­naan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada ma­nifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Mengenai Titah Adendum, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi me­nyampaikan harapan 160 Ketua UMNO Bahagian yang prihatin terhadap nasib Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, permintaan akar umbi itu mencerminkan ke­gelisahan dan keprihatinan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut. Beliau menegaskan, langkah ini bukan campur ta­ngan dalam urusan mahkamah, sebaliknya usaha mempercepatkan penyelesaian mengikut saluran perundangan sedia ada.

Mengulas dakwaan Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman bahawa perjumpaan itu mengganggu kestabilan politik, Ahmad Zahid menolak pandangan tersebut dan menegaskan UMNO tidak berniat menggugat kerajaan.

Katanya perjumpaan Ke­tua-ketua UMNO Bahagian itu adalah inisiatif mereka sendiri tanpa arahan pimpinan ter­tinggi dengan Ahmad Zahid ketika itu berada di luar negara dan perkara tersebut diwakili Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Ahmad Zahid turut me­negaskan pertemuan itu tidak bermaksud mencampuri kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun mengganggu peranan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN