Kilang aiskrim musnah 80 peratus dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Kilang aiskrim musnah 80 peratus dalam kebakaran

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kilang aiskrim di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah kilang aiskrim di Jalan Kilang 2, Kawasan Perindustrian Jelapang di sini terbakar tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah malam.

Katanya, seramai 37 pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, BBP Meru Raya dan BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, operasi pemadaman kilang dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu belakang kilang oleh BBP Ipoh dan Meru Raya manakala di hadapan oleh BBP Pasir Puteh dan tepi kilang pula dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) juga digerakkan ke lokasi berikutan terdapat dua tangki ammonia 800 liter di premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran sisa gas ammonia daripada peralatan penyejukbekuan.

“Bagaimanapun situasi terkini adalah terkawal dan saluran valve utama dari tangki simpanan berjaya ditutup.

“Pemantauan berkala kadar pencemaran bahan berbahaya masih dilakukan. Pihak syarikat yang bertanggungjawab bagi bahan kimia tersebut juga telah dihubungi bagi memberikan bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.

Tambahnya, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur kilang membabitkan stor penyimpanan aiskrim serta perkakasan pembuatan dan pembungkusan.

“Api berjaya dipadamkan dan pasukan kini melakukan kerja-kerja pemunggaran bagi memadamkan sisa bara kebakaran di bawah runtuhan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN