PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sejumlah 2,811 serahan kes serahan termasuk penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi sejak 2021 hingga tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu termasuk 335 serahan kes yang dicatatkan bermula 1 Januari hingga 31 Mei lalu yang diterima daripada agensi-agensi penguatkuasaan melibatkan pelbagai kerangka perundangan
“Saya boleh katakan sebagian besar daripada serahan kes ini adalah melibatkan isu yang terkait di sempadan, pihak-pihak tertentu kena maklum bahawa KPDN tidak mempunyai pegawai tetap di pintu-pintu sempadan.
“Bagaimana kita berfungsi adalah melalui serahan kes tangkapan dibuat oleh agensi-agensi berkenan dan diserahkan kepada kita, kadangkala kita juga membuat operasi bersepadu dengan agensi-agensi yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa di sini hari ini.
Jelas Armizan, antara serahan kes yang mencatatkan jumlah tertinggi adalah daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) berjumlah 1,146 kes diikuti Pasukan Polis Marin iaitu 866 kes, Polis Diraja Malaysia (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (69 kes).
Ujarnya, peningkatan konsisten itu membuktikan bahawa kerjasama rentas agensi bukan sahaja menyumbanv kepada kejayaan operasi penguatkuasaan, malah meningkatkan keberkesanan perlindungan hak pengguna secara amnya.
“Kita mengharapkan kerjasama sedia ada ini dapat kita perkasakan dalam kita melaksanakan kefungsian KPDN khususnya yang terkait dengan isu penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan subsidi dan juga penyeludupan subsidi ke negara-negara luar,” katanya. – UTUSAN










