MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya lima orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas sebuah pesawat Tentera Laut Mexico terhempas di perairan berdekatan Texas, Amerika Syarikat (AS), ketika sedang menjalankan misi pemindahan perubatan.
Menurut Sekretariat Tentera Laut Mexico, lapan orang berada di dalam pesawat yang sedang menjalankan misi kemanusiaan itu.
Dua penumpang terselamat, manakala lima lagi meninggal dunia. Seorang penumpang masih hilang meskipun usaha mencari telah dijalankan oleh Penjaga Pantai AS.
Kemalangan berlaku ketika pesawat itu menghampiri Galveston, Texas. Misi pemindahan perubatan khusus ini dianjurkan bersama sebuah yayasan Mexico yang mengendalikan kanak-kanak mengalami kecederaan melecur yang teruk.
Menurut laman web penjejakan penerbangan Flight Radar, pesawat itu berlepas dari Merida, Yucatan, Mexico dan rekod terakhir dicatatkan di atas Teluk Galveston berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Scholes.-AFP










