WASHINGTON: Rumah Putih mengumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pentadbirannya adalah yang paling telus dalam sejarah susulan pendedahan fail berkaitan Jeffrey Epstein
Jabatan Kehakiman AS pada Jumaat telah mengeluarkan ribuan fail daripada siasatan terhadap Jeffrey Epstein, seorang pesalah seks yang telah disabitkan kesalahan. Namun, jabatan itu mengakui pendedahan dokumen mengenai hartawan berkenaan masih belum lengkap.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson berkata, dengan mengeluarkan ribuan halaman dokumen, bekerjasama dengan permintaan sepina Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan, serta Trump yang baru-baru ini menggesa siasatan lanjut terhadap rakan-rakan Demokrat Epstein, pentadbiran Trump telah melakukan lebih banyak untuk mangsa berbanding Demokrat.
“Dalam masa yang sama, ketika Trump menunaikan janji-janjinya, tokoh Demokrat seperti Hakeem Jeffries dan Stacey Plaskett masih belum menjelaskan mengapa mereka meminta sumbangan dana dan mengatur pertemuan dengan Epstein selepas beliau disabitkan sebagai pesalah seks. Rakyat AS berhak mendapat jawapan,” katanya.
Fail-fail tersebut dikeluarkan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Kongres pada Jumaat, namun Jabatan Kehakiman memberi isyarat bahawa ia tidak akan memenuhi sepenuhnya tarikh tersebut.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, memberitahu Fox News Channel bahawa beliau menjangkakan jabatan itu akan mengeluarkan beberapa ratus ribu rekod pada Jumaat, diikuti ratusan ribu lagi dalam minggu-minggu akan datang.
Pendedahan ini telah lama dituntut oleh orang ramai yang mahu tahu sama ada mana-mana sekutu Epstein yang kaya dan berkuasa tahu atau terlibat dalam penderaan tersebut.
Penuduh Epstein juga sejak sekian lama menuntut penjelasan mengenai mengapa pihak berkuasa persekutuan menghentikan siasatan awal terhadap dakwaan itu pada 2008. -AGENSI











