Rakyat Britain lebih miskin pada 2025 - Utusan Malaysia

Rakyat Britain lebih miskin pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Rakyat Britain lebih miskin pada tahun ini apabila kesan daripada pelaksanaan cukai besar-besaran oleh Parti Labour mula terserlah.

Akaun rasmi negata menunjukkan gambaran suram dengan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua tahun ini sedikit lebih lemah daripada jangkaan sebelum ini.

Keadaan bagi isi rumah adalah jauh lebih membimbangkan apabila Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) kini mengesahkan tiada peningkatan kekayaan berdasarkan per kapita sepanjang 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, terdapat peningkatan sebanyak 0.2 peratus antara Jun hingga September, namun angka tersebut telah disemak turun kepada sifar.

Pendapatan Boleh Guna Isi Rumah Kasar (RHDI) per kapita merosot 0.9 peratus dalam terma sebenar pada suku pertama dan 0.8 peratus pada suku ketiga, menjadikan penurunan keseluruhan hampir 1.7 peratus setakat tahun ini.

Apabila mengambil kira inflasi, ini bermakna isi rumah masih berada dalam keadaan lebih teruk berbanding akhir 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Penemuan ini amat memalukan bagi pemimpin Labour, Keir Starmer, yang sebelum ini menjadikan metrik tersebut sebagai ukuran utama janji beliau bahawa golongan pekerja akan mempunyai lebih banyak wang.

Tekanan terhadap kewangan rakyat sebenarnya telah meningkat walaupun sebelum kesan penuh Bajet besar-besaran terbaharu yang melanjutkan pembekuan ambang cukai untuk tempoh tiga tahun lagi. Langkah itu dijangka menyebabkan lebih 8.9 juta orang membayar kadar cukai pendapatan lebih tinggi sebanyak 40 peratus menjelang akhir dekad ini.

ONS memaklumkan kejatuhan RHDI per kapita didorong terutamanya oleh peningkatan cukai ke atas pendapatan dan kekayaan dengan kutipan agresif Perbendaharaan mengimbangi kenaikan gaji.

Pengarah Statistik Ekonomi ONS, Liz McKeown, berkata angka terkini menunjukkan gambaran yang sama seperti anggaran awal dengan pertumbuhan terus perlahan pada suku ketiga.

“Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan sebahagiannya diimbangi oleh kejatuhan dalam sektor pengeluaran, dengan penurunan ketara dalam pembuatan kereta.

“Angka terbaharu kami juga menunjukkan kadar simpanan isi rumah, walaupun menurun sejak kebelakangan ini, masih kekal tinggi berbanding piawaian sejarah,” katanya.

Walaupun semakan bagi suku kedua dibuat, United Kingdom kekal sebagai ekonomi dengan pertumbuhan terpantas bersama dalam kalangan negara G7, seiring Jepun, dengan pertumbuhan 0.9 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini