Kerajaan laksana kajian reformasi pelantikan Kehakiman 

Kerajaan laksana kajian reformasi pelantikan Kehakiman 

Jabatan Perdana Menteri (PMO)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan kajian perbandingan awal mengenai sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih sebagai sebahagian daripada usaha reformasi sistem kehakiman negara.

Perkara itu dirintis selepas perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya serta Reformasi Institusi Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, perbincangan itu diadakan berhubung keprihatinan rakyat mengenai reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang. 

“Dalam sesi ini, kedua-dua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas turut menyampaikan kebimbangan berhubung perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman dan menekankan kepentingan penelitian yang lebih mendalam bagi memastikan proses tersebut lebih telus dan diyakini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BHEUU, kajian itu memberi kefahaman holistik tentang proses pelantikan kehakiman di negara ini dengan sistem yang serupa bagi membolehkan Malaysia menilai secara keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk menilai model pelantikan kehakiman berkesan, mengenal pasti amalan terbaik dan mengesyorkan pembaharuan sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. 

BHEUU JPM turut berkata, kerajaan mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang awam mengenai perkara ini. 

“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri. Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam dengan melaksanakan reformasi yang berasaskan keterangan dan telus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN