PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat mendapati terdapat transaksi kewangan mencurigakan yang dimasukkan ke dalam akaun seorang bekas pegawai kanan tentera dalam tempoh 2024 sehingga 2025.
Menurut sumber, transaksi tersebut dilakukan melalui kaedah deposit tunai (cash deposit) ke dalam akaun peribadi pegawai terbabit.
Sumber itu berkata, deposit tunai berkenaan disyaki merupakan wang rasuah yang diterima daripada beberapa kontraktor yang dipercayai terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
“Fokus siasatan SPRM ketika ini adalah untuk mengenal pasti kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam pembayaran rasuah berkenaan.
“SPRM juga masih dalam proses mendapatkan rekod transaksi tambahan serta menjalankan analisis jejak kewangan atau money trail bagi melengkapkan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 6 Januari lalu, seramai 17 pengarah syarikat ditahan reman SPRM kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Kesemua suspek yang direma terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan TDM.
Pada 8 Januari, lima individu termasuk Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua isteri turut direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 26 buah syarikat yang disyaki terlibat dalam tender perolehan Tentera Darat telah disiasat SPRM.
Kesemua 26 buah syarikat tersebut kira-kira jam 11 pagi tadi disekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang.
SPRM pada 23 Disember 2025, SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat. – UTUSAN










