KUALA LUMPUR: Kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematuhi perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 2019 merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap kewajipan statutori dan boleh menjurus kepada penghinaan mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain berkata, saman difailkan oleh ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit menunjukkan kegagalan besar dalam penguatkuasaan undang-undang negara ini.
Hakim Roz Mawar menyatakan terdapat salah laku dalam pejabat awam (misfeasens) membabitkan tindakan tidak wajar dan gagal menggunakan metodologi forensik terkini yang boleh memberikan maklumat masa yang penting mengenai trauma dialami oleh Ivana.
Katanya, pada 8 Februari 2018, terdapat laporan yang mendedahkan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) warga negara Amerika Syarikat, Alex Johnson di bawah kuku Ivana.
“Walaupun bukti kritikal ini telah diperoleh, Alex dan Luna Almazkyzy dibenarkan meninggalkan Malaysia pada 29 Mac 2018, iaitu hampir sebulan selepas penemuan DNA tersebut diketahui,” katanya.
Sebelum ini, ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memfailkan saman pada 20 November 2020 atas dakwaan kesemua defendan telah melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Defendan-defendan yang dinamakan ialah Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan kerajaan Malaysia.
Sebelum mayatnya ditemukan, Ivana dilaporkan telah keluar minum bersama Alex dan Luna di ibu negara dan kembali bersama pasangan itu ke kediaman mereka di CapSquare Residence di sini.
Hakim Roz Mawar menyatakan, defendan kedua iaitu Faizal telah memberi keterangan bahawa walaupun bukti DNA itu telah diterima dan kecurigaan telah timbul tetapi tiada tindakan segera diambil untuk menahan suspek termasuk menghalang meninggalkan negara.
Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti yang jelas dalam operasi pasukan petugas, ditambah dengan ketiadaan kemajuan nyata atau komunikasi, menunjukkan kegagalan dalam mengurus dan melaksanakan mandat penyiasatan semula sewajarnya.
Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua defendan membayar ganti rugi RM1.1 juta merangkumi RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 (ganti rugi teruk) dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Verstappen. Kesemua defendan juga diperintahkan untuk membayar RM100,000 sebagai kos.
Hakim Roz Mawar turut memerintahkan PDRM untuk menyiasat semula kematian model tersebut.
Pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan Koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusannya menyatakan, kematian model itu adalah disebabkan ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.-UTUSAN










