KUALA LUMPUR: Kumpulan 4U2C menuntut permohonan maaf daripada beberapa individu yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai isu hak cipta lagu yang bakal mereka persembahkan menerusi konsert WE 4U2C Live In Concert September ini.
Peguam, Tan Kong Hai yang mewakili penganjur konsert berkenaan iaitu Juss Events memaklumkan anak guamnya tidak akan bertoleransi dengan dakwaan-dakwaan tidak benar berhubung isu tersebut yang kini ditularkan dan hangat diperkatakan di media sosial.
“Adalah penting bagi pihak penganjur mematuhi undang-undang dan mendapatkan permit dan lesen yang sah untuk menganjurkan konsert ini.
“Dan untuk pengetahuan semua, penganjur telah pun mendapatkan permit dan lesen yang diperlukan untuk membolehkan mana-mana lagu 4U2C dipersembahkan pada konsert itu nanti.
“Kami tidak akan bertoleransi dengan sebarang dakwaan tidak benar mengenai penganjuran konsert ini justeru menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam dari beberapa individu yang sebelum ini membuat kenyataan tidak berasas.
“Kami akan meneruskan tindakan undang-undang sekiranya individu-individu terbabit gagal berbuat demikian,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan petang tadi.
Penganjuran WE 4U2C Live In Concert dihimpit kontroversi susulan kenyataan komposer, Man Senoi dan isteri, Mama Rap yang bercadang untuk mengambil tindakan sekiranya kumpulan 4U2C meneruskan keputusan untuk membawa lagu-lagu ciptaannya tanpa kebenaran di konsert itu nanti.
Isu tersebut semakin hangat diperkatakan apabila beberapa penggiat industri antaranya Timbalan Presiden Music Malaysia yang juga Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid serta komposer terkenal, Ajai campur tangan dengan memberi pandangan isu berkenaan.
Justeru, anggota 4U2C, Datuk AC Mizal dalam sidang media tersebut meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan individu-individu berkenaan yang padanya tidak berasas.
Katanya, komen-komen yang dilayangkan telah mencetuskan kekeliruan kepada peminat 4U2C selain sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran jualan tiket konsert tersebut.
“Tiada masalah untuk kami persembahkan lagu-lagu kami di konsert itu nanti kerana Akta Hak Cipta 1987 menetapkan penyanyi tidak perlu mendapatkan kebenaran pencipta bagi lagu-lagu yang dipersembahkan secara live.
“Jadi, kami berhak dan tiada halangan untuk menyanyikan mana-mana lagu yang pernah kami rakam dan popularkan dulu.
“Namun kami kecewa apabila kenyataan-kenyataan tidak berasas berlegar di media sosial dan media arus perdana sekali gus menjejaskan jualan tiket. Kenapa perbesarkan isu ini sedangkan kami belum pun tetapkan lagu apa yang bakal kami persembahkan nanti.
“Saya pasti ada agenda tertentu disebalik kenyataan-kenyataan ini. Hakikatnya dengan pemilikan permit dan lesen dari MACP, kami di pihak yang benar,” tegasnya. – UTUSAN