PUTRAJAYA: Kelab Media Putrajaya (KMP) menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilihat menyekat akses media dalam liputan program kementerian berkenaan.
KMP dalam kenyataan memaklumkan, tindakan ini dibuat melalui satu catatan dalam jemputan media bertarikh hari ini bagi program Majlis Perasmian Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025.
Jelasnya, catatan tersebut memaklumkan bahawa agenda acara tidak termasuk sesi sidang media atau temuramah (jolok).
“KMP memandang serius tindakan ini yang disifatkan sebagai satu langkah mundur dalam usaha menjamin kebebasan media dan keterbukaan penyampaian maklumat kepada rakyat.
“Tindakan menyekat ruang wartawan untuk mendapatkan penjelasan atau soalan susulan bukan sahaja menyulitkan kerja liputan, malah dilihat sebagai cubaan menutup ruang akauntabiliti pihak KKM kepada rakyat,” katanya hari ini.
KMP turut menegaskan bahawa langkah sebegini tidak pernah diamalkan sebelum ini dan tindakan tersebut wajar dilihat sebagai satu bentuk sekatan tidak langsung kepada media.
Katanya, dalam keadaan rakyat memerlukan maklumat yang telus dan tepat, terutama berkaitan dasar dan isu kesihatan awam, pendekatan ini amat mengecewakan dan tidak mencerminkan semangat keterbukaan yang sepatutnya dipraktikkan oleh sebuah kementerian yang berkhidmat untuk rakyat.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada jemputan baharu tanpa sekatan dikeluarkan KKM. Justeru, kami menuntut penjelasan lanjut dan terperinci mengenai isu ini,” katanya. – UTUSAN