Kedudukan PM kukuh, himpunan tiada hala tuju - Utusan Malaysia

Kedudukan PM kukuh, himpunan tiada hala tuju

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim berucap pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri masih kukuh disebalik pelbagai isu dimainkan oleh pihak lawan termasuk untuk mengadakan perhimpunan mendesak beliau meletak jawatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Anwar masih mempunyai mandat daripada majoriti Ahli Parlimen termasuk menerusi kenyataan sokongan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sentimen ketika ini adalah kesan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat serta isu lain pelantikan kehakiman yang dimainkan pihak lawan.

“Setakat ini kedudukan Perdana Menteri masih lagi memperoleh sokongan majoriti, kukuh dan kuat. Perkara biasa apabila orang politik (lawan) mengambil kesempatan dan menangguk di air keruh. Fokus kita tidak berganjak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di sini malam tadi yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Muhammad Kamil bagaimanapun mengakui soal komunikasi antara perkara yang perlu diperbaiki oleh pihak kerajaan bagi menangkis segala tomahan.

Beliau juga menyifatkan Himpunan Turun Anwar (HTA) yang dirancang oleh pembangkang pada 26 Julai ini dengan sasaran penyertaan lebih 50,000 orang, sebagai tiada hala tuju.

“Tiada fokus yang jelas. Lebih kepada hendak membangkitkan keresahan dan kebimbangan rakyat.

“Tetapi saya fikir rakyat bijak untuk menilai adakah isu yang dibawa itu menyentuh permasalahan rakyat atau hanya sentimen kebencian, kaum dan agama,” katanya.

Mengenai cadangan supaya keahlian bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa ahli Parlimen daripada parti itu yang memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Anwar, Muhammad Kamil berkata, partinya mengamalkan keterbukaan dalam melontarkan pandangan.

Beliau bagaimanapun melihat isu pelantikan kehakiman yang dimainkan mereka adalah tidak berasas kerana tiada bukti campur tangan atau pelanggaran prosedur sepertimana didakwa serta menyerahkan perkara berkenaan kedudukan Rafizi dan lain-lain kepada kepimpinan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN