Kastam Perak gagalkan cubaan seludup dadah - Utusan Malaysia

Kastam Perak gagalkan cubaan seludup dadah

MOHD. Nadzri Ariffin (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam serbuan pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik licik sindiket penyeludupan dadah menyembunyikan bunga ganja di dalam kotak tilam dan kolam angin gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.

Serbuan ke atas syarikat penghantaran barang di Petaling Jaya itu dijalankan oleh anggota Unit Narkotik JKDM Perak dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat pada pukul 2.45 petang, 5 Jun lalu.

Pengarahnya, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, bunga ganja itu dijumpai selepas pemeriksaan dijalankan ke atas satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan menemui lapan bungkusan plastik berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 9,858 gram dengan nilai pasaran berjumlah RM966,084.

“Siasatan awal mendapati bungkusan yang disembunyikan di dalam kotak tilam dan kolam angin itu akan dihantar ke United Kingdom.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah menyeludup dadah melalui kurier untuk dieksport ke luar negara. Siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 55,320 unit peranti rokok elektronik mengandungi cecair pelbagai jenama dan 706 keping jubin yang tidak diikrar dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada pukul 10 pagi, 4 Jun lalu.

Katanya, rokok elektronik yang dirampas dianggarkan bernilai RM896,800 dengan anggaran cukai RM530,670.40 manakala nilai jubin pula sebanyak RM70,600 dengan cukai RM45,890.

“Selain itu, serbuan turut dijalankan di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di Selangor pada 27 Mei lalu di mana pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kontena yang diikrar sebagai komponen dan kotak peralatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena itu menemukan sebuah kereta litar berjenama Brabham Model BT62 tanpa permit import bernilai lebih RM2.2 juta dengan cukai berjumlah RM4.2 juta,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pemeriksaan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu pada 29 Mei lalu membawa kepada penemuan karkas babi dalam dua buah lori sejuk beku pada pukul 6.55 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati barangan tersebut dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen dan tidak dirujuk kepada Maqis selain tiada permit import dan sijil kesihatan dari negara berkenaan.

“Nilai karkas babi itu berjumlah RM1.03 juta bersama cukai RM400,000. Dalam rampasan itu, dua lelaki warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN