PETALING JAYA: Bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira diumumkan sebagai peledak baharu Selangor FC pada musim depan.
Kepulangan semula pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun ke Liga Malaysia (Liga M) itu diumumkan Gergasi Merah dalam satu kenyataan, semalam.
“Selangor FC menyambut baik kehadiran penyerang baharu, Willian Lira sebahagian keluarga Gergasi Merah kini,” umum Selangor FC.
Lira sebelum ini pernah bermain di Liga M bersama KDA pada tahun 2023 dan merekodkan lapan jaringan dalam 14 perlawanan Liga Super.
Bagaimanapun, jodoh pemain itu bersama KDA tidak panjang apabila Lira kemudian menyertai kelab dari Thailand, Chonburi FC pada Julai 2023.
Lira menjadi tunjang utama di bahagian serangan Chonburi apabila merekodkan 15 jaringan dalam 30 perlawanan selain melakukan tiga bantuan gol.
Kemudian, Lira menyertai Hatta Club yang berpangkalan di UAE sebelum kembali ke Malaysia dan memilih bagi menyarung jersi Selangor untuk saingan musim hadapan.
Kehadiran Lira dijangka bakal membentuk suatu rangkaian serangan bersama pemain sedia ada dan penyerang baru, Chrigor Moraes yang diumumkan beberapa hari yang lalu.-UTUSAN