Keluar sekejap dari rumah, erat hubungan - Utusan Malaysia

Keluar sekejap dari rumah, erat hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percutian pendek, walaupun dekat-dekat, sebenarnya boleh jadi penyelamat banyak benda.

Terutama bagi suami isteri yang makin jarang berbual, anak-anak yang asyik dengan skrin atau datuk nenek yang selalu duduk di rumah, tengok televisyen (TV) sahaja.

Bila keluar seketika, kita juga meninggalkan stres yang bersarang di rumah.

Bagi saya, trend bercuti bersama keluarga ini sebenarnya satu perkembangan sihat, malah ia sudah menjadi keperluan semasa.

Kalau buka Instagram pun, sana-sini rakan-rakan atau insan tidak dikenali berkongsi gambar percutian mereka.

Ada yang melancong ke Eropah, Jepun atau makan-makan di Hatyai. Paling saya suka gambar keluarga mandi-manda serta berkelah di sungai.

Segelintir mungkin menganggap perkongsian itu berniat untuk menunjuk-nunjuk atau riak.

Tetapi bagi saya, ia adalah kenangan, bukti ikatan dan momen yang diluangkan bersama orang tersayang.

Dan siapa tahu, gambar-gambar itu juga yang buat orang lain rasa nak ambil cuti, bawa anak keluar dan eratkan kembali hubungan yang sudah lama renggang.

Kita pun tahu kan, duduk serumah belum tentu selalu semeja. Masing-masing sibuk.

Suami penat kerja, isteri urus rumah, anak-anak dengan kelas tambahan.

Jadi bila bercuti, walaupun satu malam, kita berpeluang untuk berborak dan dengar cerita yang selama ini terpendam, sambil ketawa terbahak-bahak.

Semasa berkhidmat di Terengganu dulu, saya kagumi inisiatif kerajaan negeri yang menawarkan bulan madu kedua kepada pasangan sudah lama berkahwin.

Ada pasangan yang kali terakhir mereka bercuti berdua adalah semasa anak baru seorang.

Sekarang bila sudah bercucu, barulah dapat peluang pegang tangan sambil jalan-jalan di Cameron Highlands atau di tepi pantai. Manis, kan?

Sebenarnya, bercuti bukan sebab nak lari daripada tanggungjawab tetapi untuk menjaga emosi dan hubungan.

Nak ingat balik kenapa dulu kita jatuh cinta, kenapa dulu berjanji susah senang bersama.

Selain itu, percutian juga menjadi tonik untuk mengeratkan hubungan dengan ibu bapa dan mentua.

Dalam perjalanan, kita belajar saling bertolak ansur, sediakan makanan bersama-sama, bergerak perlahan ikut langkah mereka.

Masa itu, kita mula faham yang masa bersama mereka mungkin sudah tidak lama.

Justeru, tidak perlu tunggu hujung tahun atau bajet besar. Kadang-kadang satu malam pun sudah memadai untuk menyegarkan jiwa lesu, memperbaiki komunikasi hambar dan menjadikan rumah tangga lebih harmoni.

Yang indah dalam percutian bukan tempatnya, tapi rasa yang dibawa pulang selepas itu.

-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN