SOALAN
Bagaimana untuk bangkit daripada burnout? Penatnya hidup dalam kesempitan selepas kehilangan kerja. Anak isteri mulai terabai, emosi pun tidak stabil.
-Lelaki Terluka
JAWAPAN
Peranan suami bukan sekadar mencari rezeki, tetapi menjadi tonggak utama keluarga. Bila ketua goyah, seluruh keluarga turut merasai kesannya.
Ramai lelaki terperangkap dalam emosi, hilang arah dan terluka dalam diam. Namun demi insan tersayang, mereka tetap cuba berdiri walaupun hati menjerit lelah. Berikut panduan untuk bangkit semula:
a)Akui dan terima diri – Akui emosi negatif yang hadir. Semua perasaan itu adalah normal. Jangan abaikan, tapi raikan dan cuba luahkan. Luangkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit sehari untuk menulis atau bercakap sendiri. Bila anda belajar menerima emosi, hati akan lebih tenang dan kekuatan dalaman terbina semula.
b)Cari sokongan – Memendam rasa akan menambahkan bebanan di hati. Cuba cari seseorang untuk berkongsi perasaan anda seperti pasangan, rakan, kaunselor atau hubungi talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929).
c)Mulakan langkah kecil – Kadang-kadang apabila melihat semua masalah datang serentak, kita akan berasa lemas. Cuba pecahkan masalah besar kepada tindakan kecil. Contohnya, cari kerja sambilan atau jadi freelance. Usaha walaupun dengan sekecil-kecil tindakan.
d)Bina rutin harian – Burnout boleh membuatkan hidup anda kosong. Wujudkan semula rutin harian seperti jadual bangun dan tidur, kemas rumah atau kerja sambilan. Rutin yang stabil dapat membantu emosi jadi lebih tenang.
e)Hargai masa bersama – Nilai diri anda bukan semata-mata pada kerja atau duit, tetapi kasih sayang dan perhatian yang diberikan. Luangkan masa bersama isteri dan anak-anak dengan sebaik mungkin. Anak-anak tidak tahu jumlah duit yang dimiliki ayah, tapi mereka sentiasa ingat kasih sayang yang diperoleh.
f)Jangan hilang harapan – Jatuh bangun dalam hidup bukan bermakna anda gagal. Mungkin ini proses untuk membina semula tapak yang lebih kukuh. Teruskan berdoa, mohon kekuatan kepada Allah. Baca kisah-kisah inspirasi sebagai pembakar semangat. Ingat, keadaan ini tidak kekal selamanya. Allah menjanjikan jalan keluar untuk mereka yang sabar.
Kesimpulannya, pengorbanan ayah adalah lambang kasih sayang yang tidak pernah luntur, menjadi tunjang kebahagiaan dan keharmonian dalam keluarga. Hargailah diri dan keluarga seadanya, kerana di situlah letaknya nilai sebenar kehidupan.










