Kartel bekal susu tepung: SPRM rekod keterangan dua kakitangan jabatan kerajaan  - Utusan Malaysia

Kartel bekal susu tepung: SPRM rekod keterangan dua kakitangan jabatan kerajaan 

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekod keterangan dua kakitangan sebuah jabatan kerajaan untuk membantu siasatan berkenaan siasatan kartel pembekalan susu tepung. 

Difahamkan, keterangan dua lelaki terbabit diambil pada minggu lepas.

Menurut sumber, siasatan Op White ini masih dijalankan termasuk mengesan dan menganalisis pengaliran sumber wang membabitkan kartel tersebut.

Kata sumber, siasatan turut melibatkan kerjasama dengan pihak bank untuk membantu SPRM mengesan akaun-akaun berkaitan.

“Keterangan seorang lagi anak lelaki kepada pasangan suami isteri yang sebelum ini berada di luar daerah telah dirakam keterangan selain kakitangan pihak jabatan kerajaan dan kementerian terlibat.

“Ini menjadikan seramai 12 individu setakat ini telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan kes ini masih dalam peringkat siasatan.

Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sebelum ini, media melaporkan tiga beranak terdiri daripada suami isteri serta anak lelakinya masing-masing disyaki pemilik dan pengarah syarikat telah disiasat berhubung kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan yang tidak memenuhi piawaian standard SIRIM Berhad (SIRIM) bernilai kira-kira RM120 juta. 

SPRM juga telah melaksanakan sitaan akaun berjumlah RM174.6 juta membabitkan 24 akaun individu serta 51 akaun syarikat.

Tindakan itu hasil pembongkaran SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang bermula 8 Julai lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN