Kami kenangkan periuk nasinya - Floor 88 enggan heret bekas pengurus ke muka pengadilan - Utusan Malaysia

Kami kenangkan periuk nasinya – Floor 88 enggan heret bekas pengurus ke muka pengadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Dia belum berjumpa kami.”

Demikian maklum balas ahli Floor 88 mengenai bekas pengurus mereka yang menghilang selepas kegiatannya menyeleweng duit, terbongkar.

Menurut vokalis, Ayie Elham, 28, sampai hari ini individu tersebut terus berdiam dan mengelak untuk bersemuka dengan kesemua ahli kumpulan itu.

“Kami tidak mendesak, malah terbuka menerima apabila dia bersedia untuk berjumpa kami pada bila-bila masa.

“Dan kami tidaklah merancang untuk membawa kes ini ke muka pengadilan kerana masih kenangkan periuk nasinya.

“Bila difikirkan semula, dia pernah susah senang dengan kami. Mungkin kami terlalu mengikut perasaan apabila sebelum ini mendedahkan namanya kepada media.

“Rasanya dia ‘terduduk’ juga apabila identitinya diketahui umum. Apa pun, terserah kepada dia sama ada mahu berjumpa atau tidak,” kongsinya pada majlis pelancaran lagu terbaru, F, semalam.

Floor 88 sebelum ini membuka cerita mengenai kegiatan individu berkenaan yang menyeleweng duit persembahan kumpulan itu.

Gara-gara kegiatan tidak bertanggungjawab bekas pengurus mereka itu, kumpulan tersebut juga hampir disaman oleh penganjur yang telah membayar wang pendahuluan kepada pelaku.

Ayie sementara itu bersyukur kerana nama Floor 88 bersih selepas perkara sebenar diketahui umum.

“Ada penganjur yang sudah menghantar surat tuntutan kepadanya dan kami dimaklumkan dia memberi maklum balas dengan berjanji untuk memulangkan wang pendahuluan yang diambilnya.

“Alhamdulillah, lega kerana nama kami bersih selepas cerita sebenar didedahkan. Boleh dikatakan sekarang hampir setiap minggu kami terima tawaran membuat persembahan,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN