PETALING JAYA: “Dalam Pas, kalah menang bukan alasan untuk berhenti berjuang.”
Itu penegasan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas, Razman Zakaria selepas berlaku perubahan kepemimpinan parti di peringkat negeri susulan berakhirnya Muktamar Tahunan Pas ke-71.
Razman berkata, semangat tersebut selaras dengan bait lagu tema Pas iaitu “kalah menang bukan alasannya” yang selama ini menjadi pegangan ahli parti dalam meneruskan perjuangan.
“Dalam Pas, kalah menang bukan alasan untuk berhenti berjuang. Sekurang-kurangnya ‘pakteh’ (merujuk dirinya) tidak pernah lagi menangis depan sidang media,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perubahan kepemimpinan itu menyaksikan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Perak yang baharu menggantikan Razman bagi penggal 2025-2027.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pelantikan Idris dibuat berdasarkan Fasal 53(4) Perlembagaan Pas, manakala pelantikan Razman sebagai AJK Pas Pusat pula diputuskan mengikut Fasal 38(4) dan 38(5) dengan persetujuan jawatankuasa.
Sebelum ini, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Perak sejak beberapa penggal lalu. – UTUSAN









