JPJ teliti tindakan syarikat bas kemalangan UPSI - Utusan Malaysia

JPJ teliti tindakan syarikat bas kemalangan UPSI

AEDY Fadly Ramli (tengah) beramah mesra bersama sebahagian penerima lesen memandu pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus, Terengganu hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperinci siasatan terhadap pemandu dan syarikat pengendali bas yang terlibat dalam tragedi meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 9 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, buat masa ini, pemandu bas berkenaan masih melalui proses perundangan di mahkamah bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, JPJ turut meneliti beberapa aspek di bawah bidang kuasa agensi itu untuk tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang terbabit.

“Terdapat tindakan yang boleh dikenakan terhadap pemandu bas dan juga syarikat pengendali terbabit.

Antaranya kemungkinan pembatalan permit syarikat tersebut berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan oleh pasukan petugas khas Kementerian Pengangkutan pada Jumaat lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Program MyLesen (B2) peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, laporan awal tersebut turut merumuskan beberapa isu membabitkan sistem keselamatan jalan raya secara menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

Dalam laporan awal itu, analisis kinematik mendapati bas yang membawa penuntut UPSI tersebut dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, berbanding had laju yang ditetapkan iaitu 60 km/j.

Kegagalan mematuhi had laju itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum bas tergelincir dan terbalik ke bahagian kiri jalan.

Siasatan juga mengenal pasti kedua-dua pemandu bas terbabit mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi. Pemandu pertama mempunyai sebanyak 18 saman tertunggak manakala pemandu kedua mencatatkan lebih 20 saman gabungan yang masih belum diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, JPJ mengeluarkan sebanyak 792 kompaun terhadap individu yang tidak memakai tali pinggang keledar di seluruh negara sehingga 10 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 142 kompaun dikeluarkan terhadap pemandu manakala 640 lagi kepada penumpang. Selain itu, sebanyak 5,923 pemeriksaan kenderaan telah dilaksanakan dalam tempoh sama sebagai langkah mempertingkat penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN