KUALA LUMPUR: “Saya berusaha tidak timbulkan sebarang perasaan yang tidak bagus. Sebab itulah saya pilih jauhkan diri dari hal komunikasi.”
Demikian kata pelakon, Diana Danielle yang mengakui dirinya sudah lama tidak berhubung dengan bekas suami yang juga aktor, Farid Kamil selepas berpisah.
Menurut Diana, dia berbuat demikian kerana dirinya masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan perceraian tersebut selain mahu fokus membina kehidupan baharu.
“Perceraian yang berlaku sangat baru, kadang-kadang saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Mungkin suatu hari nanti kami akan kembali berkomunikasi. Sekarang masa untuk kami berusaha mencari tempo dan rentak baru dalam hidup. Fokusnya kini adalah anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas muncul di program Meletop, pada Selasa.
Dalam masa sama, Diana juga mengakui dirinya lebih selesa sekiranya Farid terus berhubung dengan kedua-dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora bagi mengelak dirinya dituduh cuba mempengaruhi anak.
“Saya rasa lebih baik jika dia berhubung dengan anak-anak terus supaya tidak ada unsur-unsur seperti saya cuba untuk mempengaruhi anak-anak ataupun yang tidak sepatutnya.
“Jika mereka merancang untuk melakukan sesuatu bersama, dia boleh bertanya kepada anak-anak sendiri. Ssaya cuma fikirkan tentang jadual sekolah.
“Saya cuba mengingatkan anak-anak tentang rutin mereka, jika ada tuisyen atau sekolah. Dia adalah bapa anak-anak saya. Saya tidak beri sebarang sekatan untuk berjumpa, berapa hari untuk berjumpa, kerana itu bukan masalah,” jelasnya.
Mengulas mengenai kenyataannya menerusi sebuah sesi audio siar tempoh hari, Diana menegaskan dirinya hanya berkongsi perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak seni termasuklah kisah rumah tangganya yang menjadi perhatian ramai.
“Jika melihat sesi podcast itu sepenuhnya, saya hanya berkongsi tentang perjalanan hidup saya yang sudah tentu akan melibatkan beberapa nama. Bukan hanya dia, tapi beberapa lagi individu.
“Saya tidak mengharapkan untuk beremosi pada ketika itu. Tetapi, ada yang salah faham bahawa saya merindui perkara itu dalam hidup saya. Saya tidak merindukannya sebaliknya mahu jalan terus.
“Ia juga bukan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Tetapi, apabila kita bercerita, kadang-kadang kita merasakan apa yang kita rasa,” ujarnya.-UTUSAN