SEPANG: Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mudah terpedaya tawaran menunaikan haji tanpa permit rasmi yang sah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, biarpun musim haji 1446H/2025 baru sahaja berakhir, namun nasihat itu ditujukan kepada bakal jemaah yang berhajat menunaikan ibadah itu tahun depan.
“Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan haji perlu memastikan pematuhan penuh kepada peraturan haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, termasuk keperluan memiliki permit haji atau kuota rasmi haji.
“Kita tidak mahu tragedi yang sama berulang. Kita telah dengar dan saksikan sendiri bagaimana jemaah haji kita seramai 40 orang yang kebanyakannya warga emas terkandas dan berdepan pelbagai kesukaran.
“Mereka bukan sahaja kehilangan wang, malah tidak dapat menunaikan ibadah haji yang menjadi impian seumur hidup mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis tamat operasi musim haji 1446H/2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Justeru, katanya, beliau merayu agar semua pihak berpegang kepada prinsip yang betul dan biarlah pengorbanan itu berpandukan kepada peraturan yang sah dan diiktiraf.
Jelasnya lagi, kesannya bukan sahaja kerugian wang ringgit, malah merosakkan peluang menunaikan ibadah dengan sah dan tenang.
Media sebelum ini melaporkan, hasrat seramai 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila mereka ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji. – UTUSAN