PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, pelakon, Uyaina Arshad kesal dengan sikap segelintir peniaga yang menggunakan videonya bersenam untuk tujuan mempromosikan produk jualan mereka.
Menerusi hantaran di aplikasi X, Uyaina turut memberi amaran dan menyifatkan mereka menyalahgunakan video tersebut selain mengambilnya tanpa izin.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk bersuara sebab keadaan makin tak terkawal.
“Kepada mereka yang menjual produk, tolonglah jangan guna video tersebut untuk promosikan bisnes atau barang jualan kalian.
“Ada sebab kenapa saya tak pernah dedahkan jenama ‘walking pad’ yang saya guna. Jadi, macam mana boleh fikir untuk guna video saya dan promosi dalam media sosial kalian?” tulisnya.
Dalam masa sama, pengacara Wanita Hari Ini itu menggesa pihak yang terbabit untuk memuat turun semula video tersebut selain menyifatkan perbuatan tersebut tidak mendatangkan keberkatan.
Uyaina juga menyifatkan setiap rezeki yang diperoleh dengan menggunakan video milik orang lain tanpa izin adalah tidak berkat.
“Bagaimana kalian mendapat keberkatan mencari rezeki tetapi menggunakan konten orang lain? Itu bukan cara yang betul. Saya tak benarkan penggunaan video saya dan kepada sesiapa yang guna, silalah padam segera.
“Saya kongsi video #sudahjalankabelum untuk membakar semangat kepada golongan ibu-ibu yang bersusah payah untuk turunkan berat badan selepas melahirkan anak.
“Jangan guna video saya sesuka hati kalian, tak berkat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, pengacara itu tidak mendedahkan secara terperinci mengenai akau atau individu yang menggunakan videonya tanpa kebenaran.
Sebelum ini, Uyaina menjadi inspirasi para wanita selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 16 kilogram setelah mengamalkan senaman berjalan selama 30 minit di atas ‘walking pad’ setiap hari.-UTUSAN