Mansuh kuasa veto mustahil tanpa sokongan 193 negara anggota

Mansuh kuasa veto mustahil tanpa sokongan 193 negara anggota

CADANGAN mansuhkan kuasa veto dalam UNSC sukar dicapai jika hanya dibahas di UNGA sahaja. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan memansuhkan kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mustahil dan sukar dicapai tanpa sokongan penuh kesemua 193 negara anggota.

Penganalisis politik, Dr. Chan­dra Muzaffar berkata negara lain perlu berani dan bersatu hati dan bukan ‘pak turut’ untuk memperjuangkan keadilan menangani jenayah kemanusian.

Cadangan itu mungkin dapat dicapai sekiranya Malaysia mempunyai pengaruh dan kuasa besar seperti China yang kini lebih ke depan daripada kuasa veto lain seperti Amerika Syarikat daripada segi perdagangan dan ekonomi.

“Cadangan memansuhkan kuasa veto dalam UNSC sukar dicapai jika hanya dibahas di UNGA sahaja, ia mustahil dilakukan sekiranya tanpa soko­ngan negara anggota-anggota lain,” katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi, Dr. Azmi Hassan ber­kata, cadangan merombak Re­solusi Persidangan Agung Per­tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi memberi kuasa undang-undang kepada 193 negara anggota dianggap lebih realistik berbanding usaha me­nuntut penghapusan kuasa veto lima kuasa UNSC.

Pendekatan itu lebih mendesak kerana penstrukturan semula resolusi UNGA hanya memerlukan persetujuan 193 negara anggota dan tidak tertakluk kepada kelulusan UNSC.

Cubaan menstruktur semula Majlis Keselamatan sebelum ini sering gagal kerana memerlukan persetujuan lima kuasa tetap yang memiliki kuasa veto.

“Cadangan memansuhkan kuasa veto sukar kerana kelima-lima negara tidak akan bersetuju menyerahkan keistimewaan mereka, sebaliknya, resolusi UNGA perlu distruktur semula dengan memberi kuasa penuh dan sama kepada 193 anggota lain supaya setiap keputusannya mempunyai kuasa undang-undang seperti Majlis Keselamatan,” katanya.

UNGA kini hanya mengeluarkan deklarasi moral tanpa kesan perundangan manakala UNSC dianggotai 15 negara mempunyai kuasa undang-undang yang termaktub dalam Piagam PBB.

Sekiranya resolusi UNGA diberi kuasa undang-undang, suara majoriti dunia tidak lagi diketepikan dan mampu mempengaruhi keputusan global.

“Berbeza dengan UNSC, resolusinya adalah kekuatannya adalah 15 negara sahaja tetapi ia mempunyai kekuatan perundangan kerana piagamnya. Jadi kita ubah sedikit piagamnya.

“Jadi perkara ini tidak memerlukan persetujuan UNSC kerana 193 negara anggota memiliki undi dan pengaruh yang setara. Kuasa veto sering di­salahgunakan untuk mempertahankan kepentingan negara tertentu dan sekutu mereka, terutama dalam isu membabitkan Palestin,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Malaysia mahu kuasa veto UNSC dimansuhkan agar sebarang konflik dan jenayah kemanusiaan dapat ditangani segera.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik sebagai berkata, kuasa veto sering di­salahgunakan hingga menyekat usaha global menghentikan konflik dan kekejaman sekali gus mengorbankan lebih ba­nyak nyawa orang awam.

Justeru UNSC perlu direformasi dengan mengehadkan atau memansuhkan kuasa veto supaya dunia tidak terus terjerumus dalam kebuntuan ketika berdepan jenayah kemanusiaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN