KUALA KANGSAR: Jambatan Victoria atau turut dikenali sebagai Jambatan Enggor di sini menjadi taruhan utama Kuala Kangsar menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Komitmen itu dibuat termasuk melalui peruntukan disediakan bagi membaik pulih jambatan berusia 125 tahun itu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr. Sakduddin Zamli berkata, pihaknya akan melaksanakan kerja menaik taraf dataran parkir kepada pengunjung dan kemudahan tambahan kepada orang kelainan upaya supaya ia selamat dan selesa.
“Harapan kami adalah agar Jambatan Victoria tersenarai sebagai antara destinasi warisan ikonik dalam kempen TMM 2026,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jambatan dinamakan sempena nama pemerintah British, Ratu Victoria itu mula dibina Perak State Railway pada 1987 dan pernah menjadi lokasi strategik kemaraan tentera Jepun pada awal 1940-an.
Sakduddin berkata, Jambatan Victoria menerima lebih 20,000 pengunjung setahun terutamanya semasa musim cuti sekolah dan hujung minggu.
“Sasaran menjelang TMM 2026, meningkatkan jumlah itu kepada sekurang-kurangnya 50,000 pelawat setahun,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, setakat ini sehingga, hampir RM2 juta telah diperuntukan untuk untuk pembangunan lokasi pelancongan di Kuala Kangsar termasuk Jambatan Victoria.-UTUSAN











