Imigresen tumpaskan sindiket tawar permohonan perkahwinan palsu

Imigresen tumpaskan sindiket tawar permohonan perkahwinan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket permohonan palsu dengan penahanan empat dalang utama dan seorang individu berperanan sebagai orang tengah dalam satu serbuan khas yang dijalankan di sekitar Putrajaya, kelmarin.

Operasi Khas yang bermula pada pukul 9.19 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan yang ditahan berusia antara 30 hingga 66 tahun.

Katanya, siasatan mendapati mereka dipercayai terlibat dalam sindiket yang menawarkan perkhidmatan permohonan imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan perkahwinan warganegara tempatan dengan warga asing.

“Modus operandi sindiket dengan menawarkan permohonan ‘isteri kepada warganegara tempatan’ dan permohonan perkahwinan dengan warga asing dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM500, menyasarkan warga emas di Lembah Klang. 

“Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini

Menurutnya, pelbagai barangan disita dalam operasi terbabit antaranya enam naskhah pasport Malaysia, 22 pasport China, tujuh pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia, dua pasport Vietnam, satu pasport Myanmar dan satu pasport Macau.

“Turut disita komputer riba, dua mesin pencetak, 26 folder mengandungi dokumen Imigresen dan JPN, dua beg galas serta wang tunai berjumlah RM3,070.

“Dua kenderaan iaitu Perodua Bezza dan Honda CRV yang dipercayai digunakan sindiket tersebut turut disita,” katanya.

Tambahnya, kelima-lima suspek ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN