PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini ‘sedikit menyulitkan’ pihak polis, namun ia tetap akan dikendalikan secara profesional.
Menurutnya, penganjuran himpunan itu menuntut pihak berkuasa itu merancang aspek keselamatan, namun, menjadi tugas polis untuk memastikan ia berjalan lancar.
“Himpunan itu telah pun dihebahkan dan dalam keadaan itu, Mahkamah Persekutuan juga telah membuat keputusan bahawa penganjur tak perlu beritahu dengan polis.
“Jadi kita tak boleh mengatasi keputusan Mahkamah Persekutuan. Namun, polis tetap bertanggungjawab memastikan keselamatan awam terjamin.
“Kalau penganjur disyaratkan beritahu polis, kita tahu dia nak kumpul di mana, berapa anggaran kekuatan peserta. Jadi kita boleh gerakkan angka yang munasabah. Bukan sekat, tapi untuk memudahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan, walaupun seksyen tertentu dalam Akta Perhimpunan Aman telah diisytihar tidak berperlembagaan, tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta.
“Tiga larangan utama perlu dipatuhi peserta perhimpunan iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.
“Kalau mereka langgar (tiga larangan), kita terpaksa ambil tindakan. Tapi jangan pula kata polis tak hormati kebebasan. Itu tidak kena,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyat, namun perhimpunan mesti berlangsung dalam batas undang-undang dan tidak mencetus kekacauan.
Media sebelum ini melaporkan, Himpunan Turun Anwar dianjurkan Perikanan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini dengan lebih 300,000 orang akan hadir pada himpunan itu dari seluruh negara.
Ia sebagai manifestasi rakyat untuk selamatkan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah berpunca daripada individu bernama Anwar Ibrahim. – UTUSAN