KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan Turun yang hadir dengan harapan agar suara mereka didengari dan perubahan segera dapat dilaksanakan.
Bagi Janariah Abu Nawan, 52, yang datang dari Pagoh, Johor, kehadirannya adalah atas dasar solidariti sesama rakyat yang menurutnya semakin terhimpit dengan tekanan hidup di bawah pentadbiran sedia ada.
Katanya, beliau bersama suami yang bermalam di sebuah hotel di Klang sejak semalam tiba di lokasi seawal 10.30 pagi.
“Cukai naik, harga barang naik, subsidi ditarik. Orang kecil macam saya, orang tua-tua ni, langsung tak ada keistimewaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, dia mendakwa pemotongan hak dan keistimewaan orang Melayu juga antara sebab turun ke jalanan.
“Kikis hak Melayu macam anai-anai rosakkan rumah, semuanya sebab nak sama ratakan semua benda,” katanya.
Seorang peserta mahu dikenali Mohd/ Fiqqien, 40, dari Klang berkata, kehadirannya bukan atas nama mana-mana parti, sebaliknya sebagai rakyat yang mahu menuntut keadilan.
“Saya datang sebagai seorang rakyat. Harapan saya cuma satu, jangan menipu rakyat,” katanya. – UTUSANhttp://utusan.com.my











