KUALA LUMPUR: Hujan yang mula turun di sekitar Dataran Merdeka tidak menghalang semangat peserta Himpunan Turun Anwar untuk terus kekal di lokasi utama perhimpunan itu petang ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan peserta berteduh di bawah payung, memakai baju hujan plastik dan ada yang tetap berdiri tanpa berganjak meskipun basah kuyup dibasahi hujan.
Mereka terus melaungkan slogan seperti “Turun Anwar”, “Undur Segera” dan “Hidup Rakyat” sambil mendengar ucapan daripada aktivis serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pentas utama.
Terdahulu, selain kompleks beli-belah Sogo, peserta mula berkumpul di empat lokasi lain iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Kampung Baru.
Program Himpunan Turun Anwar telah bermula pada pukul 3 petang di Dataran Merdeka. – UTUSAN










