KUALA LUMPUR: Polis menganggarkan 18,000 peserta menghadiri Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini semalam berbanding dakwaan penganjur hampir 500,000 menyertai perhimpunan itu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, himpunan tersebut berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.
Katanya, pihak polis akan memanggil penganjur bagi menambah baik sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
“Setiap kali ada acara sebegini, kita akan adakan mesyuarat bersama semua pihak bagi melihat aspek yang perlu diperbaiki,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa 500,000 hadir dalam perhimpunan tersebut dan jumlah itu melebihi sasaran awal 300,000 orang.
Mohamed Usuf turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mematuhi peraturan dan undang-undang, serta menyeru penganjur agar lebih telus dan bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang.
“Nasihat saya kepada penganjur, pada masa akan datang perlu lebih telus dan beritahu kami lebih awal tentang kehendak mereka. Kami akan lihat dari sudut keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab kami sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, lebih 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.
Meskipun penganjur mendakwa mereka dihalang pihak berkuasa apabila diarahkan membuka semula pentas yang telah didirikan di Dataran Merdeka, namun tiada rusuhan dan sebarang provokasi tidak diingini berlaku.
Terdahulu, para peserta yang memakai baju berwarna hitam berarak sambil membawa sepanduk ‘Turun Anwar’ ke Dataran Merdeka dari lima lokasi ditetapkan iaitu Kompleks Beli-Belah Sogo, Pasar Seni, Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Kampung Baru pada pukul 1.30 petang.
Lebih mencuri perhatian, beberapa sepanduk tertera tulisan ‘Turun Anwar’ dalam bahasa Cina turut diangkat oleh peserta sebagai simbol solidariti pelbagai kaum.
Himpunan itu juga disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa bertujuan menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan dalam kegagalan menurunkan kos sara hidup rakyat dan tidak melaksanakan janji reformasi.
Beberapa peserta ditemui Mingguan Malaysia berharap suara mereka didengari dan perubahan segera dapat dilaksanakan.
Bagi Janariah Abu Nawan, 52, dari Pagoh, Johor, kehadirannya adalah atas dasar solidariti sesama rakyat yang semakin terhimpit dengan tekanan hidup di bawah pentadbiran sedia ada.
“Cukai naik, harga barang naik, subsidi ditarik. Orang kecil macam saya, orang tua-tua ini, langsung tak ada keistimewaan,” katanya.
Seorang peserta mahu dikenali Mohd. Fiqqien, 40, dari Klang berkata, kehadirannya bukan atas nama mana-mana parti, sebaliknya sebagai rakyat yang mahu menuntut keadilan.
“Saya datang sebagai seorang rakyat. Harapan saya cuma satu, tolong bantu rakyat,” katanya.-UTUSAN










