PETALING JAYA: Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri) bersolidariti penuh terhadap Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani Anuar, yang telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0.
Dalam satu kenyataan, Mandiri melihat tindakan itu sebagai cubaan untuk mengancam dan menekan suara mahasiswa yang melawan rasuah dan penyelewengan kuasa.
“Seksyen 509 KK yang kononnya diguna pakai atas dakwaan “menghina kehormatan seseorang” adalah kabur, tidak berasas, dan berbaur politik. Persoalannya, siapakah yang merasa diaibkan?
“Apakah kenyataan kritikal terhadap amalan rasuah dan sistem korup dianggap satu penghinaan kehormatan? Jika benar, maka ternyata yang diaibkan adalah mereka yang memang tidak punya kehormatan, golongan elit yang bersekongkol menyedut kekayaan negara,” demikian menurut kenyataan itu.
Mandiri berpendapat, tindakan mengheret mahasiswa ke balai, menyiasat mereka seolah-olah penjenayah, hanyalah menunjukkan betapa lemahnya kerajaan dalam berhadapan dengan kritikan.
“Kami tegaskan hentikan intimidasi terhadap Saudari Alyaah Hani serta semua aktivis mahasiswa. Batalkan siasatan di bawah Seksyen 509 KK yang bersifat tidak relevan dan bermotif politik. Jamin ruang demokrasi untuk mahasiswa dan rakyat bersuara tanpa ugutan undang-undang.
“Mandiri berdiri teguh bersama semua anak muda yang berani bersuara melawan rasuah,” kata kenyataan itu. – UTUSAN