KOTA BHARU: Taktik licik sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perkhidmatan kurier terkongkar selepas kegiatan itu dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam serbuan di Pengkalan Chepa, di sini pada 15 Julai lalu.
Lebih mengejutkan, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM201,000 ditemukan dalam bungkusan coklat dan gula-gula bertujuan mengelirukan mata pihak berkuasa.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pukul 4 petang itu dilakukan hasil maklumat orang awam.
Kata beliau, semasa serbuan dijalankan, anggota bertugas menjumpai 14 bungkusan kotak pelbagai saiz yang berisi pelbagai jenis selepas pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan ketulan ganja mampat seberat 26 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM85,981, 1.1 kg bunga ganja (RM110,000), 10 biji pil kuda (RM100), 0.11 kg ketamin (RM5,500) dan 0.004 kg methylenedioxymethamphetamine atau MDMA (RM200).
“Pemeriksaan pada 14 bungkusan itu turut mendapati barangan tersebut dikirim oleh pengirim sama yang beralamat di Kota Bharu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati, kesemua bungkusan yang tiada sebarang maklumat nombor telefon itu dibungkus dengan pembalut coklat dan gula-gula di dalam kotak.
Katanya, kesemua bungkusan itu akan dihantar menggunakan kurier ke Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan Perlis.
“Selain itu, alamat pengirim dan penerima yang ditulis pada bungkusan tersebut tidak jelas lokasinya di negeri-negeri tersebut.
“Kesemua dadah tersebut dipercayai diseludup dari Thailand sebelum ia dibungkus oleh sindiket tersebut untuk diedarkan kepada pelanggan di luar Kelantan menggunakan kurier,” ujarnya.
Katanya, JKDM sudah menjalinkan kerjasama dengan pihak kurier dalam usaha untuk mengekang kegiatan pengedaran menggunakan perkhidmatan tersebut. – UTUSAN










