PENDANG: Setelah seminggu pemergian Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama suami dan empat anak mereka, gerai roti canainya di Tanah Merah, di sini kembali beroperasi sejak kelmarin.
Tiada lagi kelibat wanita itu menebar roti canai melainkan bapanya, Razman Efendi Abd. Rahman, 57, ditemani ibu, Roswati Zainol, 52, bersama empat adiknya yang menyambung perniagaan Allahyarham.
Roswati berkata, mereka membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah setelah tapak itu ditutup sejak tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra, Sabtu lalu.
“Kami datang berniaga hari ini sebab kalau duduk di rumah pun rasa sedih dan teringat kepada mereka enam beranak. Jadi di sini terubat juga rindu. Dahulu saya dan suami ada juga datang bantu arwah berniaga di sini.
“Baru sebulan arwah berniaga di sini kerana dia dapat tapak baharu setelah berhenti di gerai bersebelahan Hospital Alor Setar. Bila sampai tadi sayu pun ada, rupa-rupanya arwah baru beli meja aluminium untuk tebar roti tetapi tidak sempat guna,” katanya ketika ditemui di gerai itu hari ini.
Menurut Roswati, Allahyarham Nurul Hidayah mula berniaga roti canai sendiri sejak berkahwin ketika berusia 19 tahun.
“Arwah ada beritahu hendak cari satu kedai untuk berniaga makanan pagi. Dia ajak saya berniaga sekali untuk jual makanan lain. Sayang kerana hasratnya tidak tercapai.
“Minat arwah memang berniaga sebab itu walaupun jauh dia sanggup berulang alik dari Jerlun ke Pendang. Lagipun dia kata selesa berniaga di sini,” ujarnya.
Roswati turut mengimbas kejadian pada Jumaat sebelum nahas tragis itu berlaku apabila mereka pelik kuah roti canai yang disediakan untuk jualan menjadi basi yang menyebabkan arwah tidak jadi berniaga pada hari itu.
“Hari Sabtu iaitu hari kejadian pada pukul 5 pagi, arwah telefon saya bertanya sama ada sudah siap buat kuah kerana dia hendak balik dari rumah adik iparnya di Jitra. Itu kali terakhir saya bercakap dengannya,” katanya.
Tambahnya, mereka berhasrat untuk meneruskan perniagaan roti canai itu di kawasan tersebut sehingga memperoleh lokasi lain yang lebih dekat dengan rumah.
Isnin lepas, negara dikejutkan dengan berita enam beranak maut dalam kemalangan tragis di Sungai Korok berdekatan Kampung Kemboja, Jitra apabila kereta Proton Iswara dinaiki mereka ditemukan terhumban di sungai itu.
Turut terkorban ialah suami Nurul Hidayah iaitu Mohamad Azim Izat Ishak, 32, serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar. – UTUSAN