HULU LANGAT: Pelakon, Andy Teh, gembira apabila sumbangan pelakon lagak ngeri di Malaysia bakal diraikan menerusi kategori baharu, Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34.
Kongsi Andy, 38, penghargaan itu bukan sahaja mengiktiraf bakat malah menjadi pembakar semangat buat pengkarya untuk menghasilkan kualiti aksi lebih baik pada masa hadapan.
“Anugerah ini setidaknya akan membuat pasukan pelakon lagak ngeri lebih bersemangat selain menghargai sumbangan yang mereka curahkan kepada industri kita. Saya fikir ini berita yang sangat bagus.
“Ramai tak tahu, tapi bagi menjayakan aksi kita sebenarnya bermain dengan nyawa. Walaupun keselamatan sudah dijaga, namun tetap ada risiko yang perlu diambil,” katanya.
Andy ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media pertama, Festival Filem Malaysia ke-34, di sini, semalam.
Menurut Andy yang juga berpengalaman berkecimpung sebagai pelakon aksi sejak 10 tahun lalu, filem aksi Malaysia kini bukan sahaja mendapat sambutan di Malaysia, malah Indonesia.
“Selain itu, kita juga sudah lihat bagaimana filem aksi diterima baik di Malaysia. Ia perkembangan yang bagus.
“Sebenarnya tahap kualiti aksi kita boleh tahan juga melihat kepada reaksi filem Blood Brothers yang ditayangkan di Indonesia.
“Kita juga dapat banyak komen yang positif, tak sangka filem kita begitu,” katanya yang membawakan karakter Pablo dalam Blood Brothers.
Dalam pada itu, Andy tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kemenangan bagi FFM34.
“Saya tidak letakkan sebarang harapan. Cuma bila dapat projek saya akan buat sebaik mungkin, 200 peratus.
“Kalau ada rezeki untuk menang, okey. Kalau tidak, setidaknya saya tercalon pun sudah cukup baik. Tahun lalu saya ada filem ‘Pagari Bulan’ sebagai tiket.
“Tahun ini filem lakonan saya yang bakal bertanding ialah Blood Brothers dan Pendekar Awang,” katanya.
Festival Filem Malaysia ke-34 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 8 November depan.- UTUSAN