11 pelajar USIM dipilih imam solat tarawih di Osaka

11 pelajar USIM dipilih imam solat tarawih di Osaka

SHARIFUDIN Md. Shaarani (duduk, tengah) bergambar bersama 11 orang pelajar yang dipilih menjadi imam solat Tarawih di Osaka, Jepun sepanjang Ramadan ini. - GAMBAR/IHSAN USIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 11 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini, dipilih menjadi imam solat tarawih di Osaka, Jepun bermula 16 Februari hingga 25 Mac depan.

Pemilihan itu menerusi Program Imam Tarawih Pelajar USIM di Osaka iaitu inisiatif Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre di bawah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah (FPQS).

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md.Shaarani berkata, penglibatan pelajar universiti itu mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kualiti pelajar serta pendekatan pendidikan Islam yang diterapkan di USIM.

Menurutnya, pelantikan itu juga bertujuan memperkasa peranan pelajar dalam konteks masyarakat minoriti muslim.

“Peluang ini memberi ruang terbaik kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari di samping membawa imej institusi yang menekankan integrasi ilmu naqli dan aqli.

“Pengalaman berkhidmat sebagai imam di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja menguji keupayaan ilmu dan kemahiran pelajar ,malah membentuk keperibadian serta kefahaman mereka dalam konteks masyarakat yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre FPQS, Dr. Norazman Alias berkata, seramai 30 calon daripada beberapa fakulti telah menjalani sesi temu duga yang menilai keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan berkhidmat dalam persekitaran masyarakat minoriti Muslim.

“Program ini turut melibatkan seorang imam jemputan dari Brunei yang akan berkhidmat bersama pelajar USIM sepanjang tempoh penugasan,” katanya.

Norazman berkata, kesemua pelajar terbabit akan mengikuti kursus persediaan intensif merangkumi latihan asas Bahasa Jepun serta pemantapan bacaan dan penghayatan al-Quran di bawah bimbingan pensyarah institusi.

Seorang pelajar terpilih, Abdul Halim Mohd. Nor, 25, berkata, peluang tersebut sebagai pengalaman berharga, khususnya menjalani Ramadan di negara minoriti muslim.

“Saya teruja untuk merasai suasana Ramadan di Jepun dan melihat sendiri bagaimana masyarakat Muslim di sana menghayati bulan puasa,” katanya.

Katanya , pelantikan sebagai imam tarawih bukan pengalaman pertamanya kerana dia pernah menjadi imam Tarawih di Surau An-Nur, Semenyih ketika tahun pertama dan kedua pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN