JAS siasat kilang disyaki punca pencemaran di Bukit Rambai

JAS siasat kilang disyaki punca pencemaran di Bukit Rambai

LAWATAN pihak berwajib bersama JAS di kolam tadahan banjir di Bukit Rambai semalam bagi menjalankan siasatan serta pemantauan susulan kejadian air berwarna hitam disyaki berpunca daripada pelepasan sisa kilang. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah mengenal pasti sebuah kilang dipercayai punca pencemaran air berwarna hitam di kolam tadahan banjir Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.

Pengarah JAS Melaka, Rosli Mustafa berkata, siasatan awal mendapati air hitam itu mungkin berpunca daripada pelepasan sisa cecair oleh kilang berhampiran, dan fokus kini adalah mengesan punca sebenar pencemaran.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan pemantauan intensif termasuk siasatan di lapangan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab menyalurkan sisa berkenaan ke dalam kolam tadahan tersebut.

“Kehadiran air berwarna hitam ini dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa cecair oleh sebuah premis berhampiran. Siri siasatan lanjut dan aktiviti pemantauan intensif sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak terlibat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Rosli berkata, setakat 2 Februari lalu, JAS Melaka telah mengenal pasti sebuah premis disyaki sebelum mengarahkan penghentian serta-merta aktiviti pelepasan yang boleh menyebabkan pencemaran, selain tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau memaklumkan, kilang terbabit disyaki memproses buangan terjadual, dan pengesahan dapat dibuat selepas keputusan analisis sampel air diterima daripada Jabatan Kimia.

“Keputusan sampel bergantung kepada Jabatan Kimia, paling cepat sekitar seminggu. Buat masa ini, tumpuan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar menyebabkan pencemaran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosli menjelaskan,  berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekitar bagi tahun 2024, tiada sungai di Melaka yang dikategorikan sebagai tercemar.

Beliau berkata, status kualiti air sungai dipantau secara berterusan menerusi program pengawasan kualiti air yang dilaksanakan di beberapa sungai terpilih.

JAS Melaka katanya, tidak akan berkompromi terhadap perbuatan mencemar alam sekitar dan akan melaksanakan pemantauan rapi serta tindakan tegas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar diminta menghubungi Hotline JAS di talian 1800-88-2727 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×